Segelintir penduduk di beberapa buah kampung berhampiran kaki Gunung Ledang sering mendaki gunung itu. Mereka mencari pelbagai jenis hasil hutan di atas gunung itu. Sekali-sekala, mereka terserempak dengan puteri Gunung Ledang. Hal ini demikian kerana Puteri Gunung Ledang sering memberikan pertolongan apabila mereka tersesat jalan atau ditimpa sesuatu kesusahan.
Oleh yang demikian, nama Puteri Gunung Ledang menjadi sebutan dan termasyhur ke mana-mana.
Sekali, kemasyhuran Puteri Gunung Ledang yang terkenal sangat jelita itu sampai kepada pengetahuan Sultan Mahmud Syah yang sedang memerintah di negeri Melaka. Timbullah hasrat dalam hati baginda untuk menjadikan Puteri Gunung Ledang sebagai permaisurinya.
Sultan Mahmud Syah lalu memaklumkan hasratnya itu kepada sekalian pembesarnya. Terkejutlah para pembesar baginda apabila mendengar kata-kata itu. Namun, masing-masing hanya berdiam diri kerana tidak berani menegur kehendak Sultan Mahmud. Malahan, Datuk Bendahara juga tidak berani bersuara apa-apa."Bukanlah mudah untuk mencari Puteri Gunung Ledang itu kerana bukan semua orang bertuah dapat bertemu dengannya," fikir Datuk Bendahara dalam hatinya.
Namun, apalah daya bagi Datuk Bendahara. Beliau tahu, Sultan Mahmud sangat bengis dan pantang dihalang segala kehendak hatinya. Jika ada sesiapa yang ingkar, mautlah padahnya. Mahu tidak mahu, terpaksalah beliau memilih dan menentukan beberapa orang daripada kalangan pembesar istana untuk pergi mencari dan meminang Puteri Gunung Ledang.
Datuk Bendahara memilih Tun Mamat sebagai ketua. Tidak ketinggalan, beliau turut memilih Datuk Sang Setia supaya ikut serta dalam rombongan itu. Beliau berharap Datuk Sang Setia, sebagai seorang tua yang berpengalaman luas, akan dapat turut membantu Tun Mamat.
"Beta mahu Datuk Laksamana Tun Tuah turut pergi bersama-sama!" titah Sultan Mahmud.
Terkejutlah Datuk Bendahara mendengar titah itu. Beliau sengaja telah mengecuali Laksamana Hang Tuah kerana tidak ingin membebankannya dengan sebarang kerja berat lagi. Lebih-lebih lagi kerana Laksamana Hang Tuah ketika itu sudah sangat berusia dan selalu pula berkeadaan uzur.
Laksamana Hang Tuah memahami perasaan hati Datuk Bendahara. Namun kerana tidak ingin menderhaka kepada Sultan, beliau tetap patuh pada titah itu.
"Ampun, tuanku! Titah tuanku tetap patik junjung," sembah beliau.
Sukacitalah hati Sultan Mahmud bukan kepalang apabila mendengar sembah Laksamana Hang Tuah. Baginda sangat mengharapkan cita-citanya akan tercapai.
Tiba hari ditetapkan, berangkatlah rombongan utusan Sultan Mahmud menuju ke Gunung Ledang. Jauhnya bukan kepalang. Perjalanannya pula bukan mudah untuk ditempuhi. Meredah rimba belantara, menyeberang sungai, mendaki bukit, dan menuruni lurah.
Namun, segala pahit getir itu terpaksa mereka tempuhi.
Akhirnya, mereka tiba di sebuah kampung berhampiran Gunung Ledang itu. Terceganglah orang kampung apabila mengetahui bahawa rombongan itu adalah utusan daripada Sultan Melaka yang datang untuk meminang Puteri Gunung Ledang. Namun, tiada seorang pun daripada kalangan orang kampung itu yang berkesanggupan untuk menolong mereka.
"Bukan kami tidak ingin membantu," ujar penduduk kampung. "Kami sendiri tidak mengetahui di manakah sebenarnya tempat tinggal Puteri Gunung Ledang di atas gunung itu."
"Puteri Gunung Ledang itu mungkin seorang puteri bunian. Sebab itulah tempat kediamannya tiada diketahui oleh sesiapapun," sampuk yang lain pula.
Mahu tidak mahu, terpaksalah rombongan itu meneruskan usaha untuk cuba mencari sendiri Puteri Gunung Ledang itu. Jikalau mereka pulang tanpa sempat bertemu Puteri Gunung Ledang, nescaya murkalah Sultan Mahmud. Mereka lalu meneruskan perjalanan ke kaki Gunung Ledang.
Tiba di kaki gunung itu, mereka berehat seketika. Laksamana Hang Tuah sangat kepenatan kerana usianya sudah lanjut tua. Begitulah juga halnya dengan Datuk Sang Setia. Laksamana Hang Tuah lalu menyuruh Tun Mamat dan orang-orangnya meneruskan usaha mencari Puteri Gunung Ledang di atas gunung itu.
"Pergilah Orang Kaya Tun Mamat bersama-sama dengan yang lain lagi untuk mencari Puteri Gunung Ledang. Biarlah hamba dan Datuk Sang Setia menunggu di kaki gunung ini saja," kata Laksamana Hang Tuah.
Tun Mamat patuh kepada arahan Laksamana Hang Tuah. Beliau bersama-sama dengan beberapa orang pemuda lain meneruskan usaha menaiki Gunung Ledang. Pelbagai kesukaran ditempuhi mereka di sepanjang pendakian itu. Malah, banyak pula perkara ganjil ditemui mereka.
"Puteri Gunung Ledang itu mungkin seorang puteri bunian. Sebab itulah tempat kediamannya tiada diketahui oleh sesiapapun," sampuk yang lain pula.
Mahu tidak mahu, terpaksalah rombongan itu meneruskan usaha untuk cuba mencari sendiri Puteri Gunung Ledang itu. Jikalau mereka pulang tanpa sempat bertemu Puteri Gunung Ledang, nescaya murkalah Sultan Mahmud. Mereka lalu meneruskan perjalanan ke kaki Gunung Ledang.
Tiba di kaki gunung itu, mereka berehat seketika. Laksamana Hang Tuah sangat kepenatan kerana usianya sudah lanjut tua. Begitulah juga halnya dengan Datuk Sang Setia. Laksamana Hang Tuah lalu menyuruh Tun Mamat dan orang-orangnya meneruskan usaha mencari Puteri Gunung Ledang di atas gunung itu.
"Pergilah Orang Kaya Tun Mamat bersama-sama dengan yang lain lagi untuk mencari Puteri Gunung Ledang. Biarlah hamba dan Datuk Sang Setia menunggu di kaki gunung ini saja," kata Laksamana Hang Tuah.
Tun Mamat patuh kepada arahan Laksamana Hang Tuah. Beliau bersama-sama dengan beberapa orang pemuda lain meneruskan usaha menaiki Gunung Ledang. Pelbagai kesukaran ditempuhi mereka di sepanjang pendakian itu. Malah, banyak pula perkara ganjil ditemui mereka. Tiangnya diperbuat daripada tulang-tulang yang besar. Atapnya pula diperbuat daripada rambut yang sangat panjang. Timbul juga rasa kecut dalam hati Tun Mamat.
Tun Mamat terkejut kerana berpuluh-puluh orang gadis yang cantik tiba-tiba saja datang mengelilinginya.
"Tuan hamba ini datang dari mana?" salah seorang gadis itu menegur Tun Mamat.
Tun Mamat segera menjawab, "Hamba ini orang Melaka. Datang ke sini untuk bertemu dengan Puteri Gunung Ledang."
Seorang nenek kebayan keluar dari tempat kediaman yang ganjil itu. Dia lalu bertanyakan hajat Tun Mamat. Tun Mamat segera menceritakan tujuan kedatangannya itu.
"Patik akan tanyakan kepada Tuan Puteri Gunung Ledang, sama ada dia bersetuju atau tidak menjadi permaisuri Sultan Melaka?" ujar nenek kebayan. Dia segera berjalan masuk ke dalam tempat kediaman itu semula.
Tidak lama selepas itu, nenek kebayan itu muncul semula. Dia segera memberitahu Tun Mamat bahawa Puteri Gunung Ledang bersetuju menjadi permaisuri Sultan Melaka, sekiranya Sultan Melaka dapat memenuhi semua syarat peminangan yang dikehendaki.
"Apakah syarat-syarat peminangan itu?" Tun Mamat ingin tahu.
Nenek kebayan menjelaskan, "Syarat-syaratnya ialah Sultan Melaka hendaklah membina sebuah jambatan emas dan sebuah jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang ini, tujuh tempayan berisi emas dan tujuh tempayan berisi perak, tujuh tempayan air pinang muda dan tujuh tempayan air mata, tujuh dulang hati nyamuk dan tujuh dulang hati kuman, serta semangkuk darah Sultan Melaka dan semangkuk darah putera Sultan Melaka."
Terpegunlah Tun Mamat mendengar segala syarat peminangan itu. Sejenak, tiadalah beliau berkata apa-apa.
Berdasarkan syarat peminangan yang ditetapkan itu, Tun Mamat dapat menduga bahawa Puteri Gunung Ledang tiada berkenan untuk menjadi permaisuri kepada Sultan Melaka. Namun untuk terus menolak peminangan itu, mungkin rasa tidak tergamak. Itulah sebabnya Puteri Gunung Ledang sengaja menetapkan syarat-syarat sedemikian agar Sultan Mahmud tidak berkecil hati.
Tanpa berlengah lagi, Tun Mamat segera turun ke kaki Gunung Ledang. Laksamana Hang Tuah dan Datuk Sang Setia masih menunggu di situ. Kawan-kawannya yang hilang dulu juga sudah berada di situ. Tun Mamat segera menceritakan kisah yang dialaminya itu kepada Laksamana Hang Tuah.
"Orang Kaya dapat bertemu sendiri dengan Puteri Gunung Ledang itu?" Laksamana Hang Tuah bertanyakan Tun Mamat.
"Nenek kebayan itulah sebenarnya Puteri Gunung Ledang. Dia sengaja menyamar menjadi seorang perempuan tua," ujar Laksamana Hang Tuah.
"Kalaulah hamba tahu nenek kebayan itulah sebenarnya Puteri Gunung Ledang, nescaya hamba akan tangkap dan bawa pulang ke Melaka," kata Tun Mamat dengan rasa kesal. Laksamana Hang Tuah dan Sang Setia tertawa mendengar kata-kata Tun Mamat itu.Mereka segera berangkat pulang ke Melaka.
Tiba di istana Melaka, mereka segera menghadap Sultan Mahmud. Tun Mamat lalu menyembahkan kepada Sultan Mahmud akan segala peminangan yang telah ditetapkan oleh Puteri Gunung Ledang.Terpegunlah Sultan Mahmud mendengar segala syarat peminangan itu. Malah, sekalian pembesar turut terkejut setelah mendengar kata-kata Tun Mamat itu. Masing-masing tunduk berdiam diri setelah melihat Sultan Mahmud termenung panjang memikirkan hal itu.
Hanya Laksamana Hang Tuah dan Tun Mamat sekali-sekala saling berpandangan. Mereka mengetahui tujuan Puteri Gunung Ledang sengaja menetapkan syarat sedemikian, iaitu menolak secara halus peminangan itu agar tidak mengecilkan hati Sultan Melaka.
Lamalah Sultan Mahmud berdiam diri, termenung panjang, kerana tidak menyangka akan demikian rupa-rupanya syarat peminangan yang ditetapkan oleh Puteri Gunung Ledang itu.
Akhirnya, Sultan Mahmud bertitah kepada sekalian pembesarnya, "Jikalau beta mahu, nescaya segala syarat peminangan yang ditetapkan oleh Puteri Gunung Ledang itu akan dapat beta penuhi. Akan tetapi, syarat semangkuk darah putera Sultan Melaka tiadalah sanggup beta penuhi. Tiadalah sanggup beta mengambil darah daripada putera beta sendiri, semata-mata untuk berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang."
Legalah hati para pembesar setelah mendengar kata-kata Sultan Mahmud itu.
Pada mulanya, mereka menyangka Sultan Mahmud tentu akan sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapai sebarang cita-citanya. Sebarang kehendak Sultan Mahmud, tidak mungkin dapat digalang. Kini, mereka berasa lega kerana Sultan Mahmud sudah membuat keputusan sedemikian.
"Wahai Tun Mamat dan Datuk Laksamana Tun Tuah, kita lupakanlah saja tentang Puteri Gunung Ledang itu. Tidak perlulah dia menjadi permaisuri Melaka. Biarkanlah dia tetap tinggal di atas puncak Gunung Ledang itu," ujar Sultan Mahmud.
Tun Mamat, Laksamana Hang Tuah, Datuk Sang Setia, dan Datuk Bendahara tersenyum panjang. Sejak itu, tiadalah lagi Sultan Mahmud menyebut nama Puteri Gunung Ledang. Malah, baginda melarang orang Melaka pergi ke kaki Gunung Ledang semasa hayat hidupnya.
Salah sebuah pantun yang pernah diungkapkan oleh Puteri Gunung Ledang dan dayang-dayangnya tinggal menjadi sebutan orang di sepanjang zaman, sampailah sekarang :
Dang Nila memangku puan,
Lemak sisik ikan pedada;
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada?
sumber : sklarkin
1 ulasan:
Assalamualaikum, hai cik, boleh ke saya minta kebenaran cik untuk digunakan ilustrasi dalam penulisan cik ini sebagai latar kepada video assignment saya?
Catat Ulasan